Gambar di hari pernikahan ku

Gambar di hari pernikahan ku

Sunday 10 March 2013

Isteri Solehah...

Untuk peringatan diri sendiri dan perkongsian dengan kawan-kawan....
 
Bila terbaca nie terus rasa insaf....semoga diri dapat berubah untuk jadi lebih baik....
 



Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin dalam Q&A Edisi 8 meletakkan 7 syarat menjadi isteri solehah.

1- Ada hidayah daripada Allah.
Hidayah merupakan anugerah Allah SWT. Seorang isteri yang duduk disamping suami yang soleh, tidak akan menjadi seorang yang baik jika tidak diberi hidayah oleh Allah. Sebaliknya isteri kepada suami yang jahat akan tetap juga baik jika mendapat hidayah dari Allah. Contoh : Siti Asiah, isteri kepada Firaun.

Allah SWT menceritakan hal ini:
"Allah membuat isteri Nuh dan isteri Lut sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Kedua-duanya berada dibawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua-dua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), maka suami mereka itu tiada dapat membantu mereka sedikit pun daripada (seksa) Allah; dan dikatakan (kepada kedua-duanya):"Masuklah ke dalam Jahannam bersama orang-orang yang masuk (Jahannam) ~ At-Tahrim 66:10

2- Ada niat untuk menjadi isteri yang solehah.
Niat memainkan peranan penting dalam menjadikan seorang itu baik atau tidak. Jika seseorang itu tidak pernah berniat untuk menjadi baik, maka dia tidak akan dapat merubah dirinya ke arah yang lebih baik.

3- Taat kepada suami
Mentaati suami merupakan perkara yang wajib selagi tidak melanggar syariat Allah. Daripada Ibnu Umar r.a daripada Nabi Sollalahu Alaihi Wassalam. "Mendengar dan taat adalah hak (yang perlu ditunaikan) selagi tidak diperintahkan untuk maksiat, apabila telah disuruh kepada maksiat maka tiada lagi hak mendengar dan taat." (Riwayat al-Bukhari)

4- Ada sifat-sifat isteri yang solehah
Isteri yang solehah mempunyai sifat-sifat keibuan walaupun terhadap suami. Ia membelai, mendengar, menghargai dan sentiasa berada di sisi suami. Rasulullah Sollalahu Alaihi Wassalam menggambarkan keadaan isteri yang sebegini, "Dunia itu merupakan perkara yang menyejukkan, dan sebaik-baik perkara yang menyejukkan adalah perempuan yang solehah." (Riwayat Muslim daripada Abdullah bin Amru r.a)

5- Ada amalan isteri yang solehah
Isteri yang solehah akan membuat perkara-perkara yang menyenangkan suaminya. Daripada Abi Umamah r.a, Nabi Sollalahu Alaihi Wassalam bersabda: "Tiada perkara yang paling menyenangkan bagi seorang Mukmin selepas takwa yang lebih baik daripada seorang isteri yang solehah. Jika dia menyuruhnya, isterinya itu akan mentaatinya, jika dilihat padanya maka isterinya itu amat menyenangkannya dan jika dia tiada, isterinya itu akan menjaga diri dan hartanya." (Riwayat Ibnu Majah)

6- Meletakkan Allah SWT dan Rasul sebagai cinta pertama
Mentaati suami bukan kerana suami tetapi kerana perintah Allah SWT. Justeru tidak ada alasan menderhakai suami disebabkan perangai suami tidak elok. Mentaati suami kerana mahukan keredhaan Allah SWT dan kasih sayang-Nya. Jika istiqamah berpegang dengan niat yang ikhlas, nanti Allah akan menganugerahkan kepada isteri kasih sayang suaminya itu sampai akhirat.

7. Banyakkan berdoa
Hidup kita tidak boleh lekang dengan doa. Kepentingan doa untuk menjadi orang yang baik amat perlu. Mintalah kepada Allah setiap hari. Oleh kerana pentingnya doa ini, Allah SWT telah mewajibkan kita membaca satu doa setiap kali kita solat. Jika kita tidak membaca doa ini, maka tidak sah solat kita. Doa itu berbunyi, "Tunjukilah kami jalan yang lurus" (Al-Fatihah 1:6)

Oleh yang demikian, untuk menjadi isteri yang solehah, seseorang isteri itu perlu mendoakan dirinya. Bagi suami pula, doakanlah isterinya agar menjadi isteri yang solehah. Jika orang tua-tua kita pernah berkata, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, Ustaz menambah, sayangkan isteri doa-doakan. Ini kerana, doa suami akan membantu perubahan diri isteri dalam usaha mereka untuk menjadi isteri yang solehah.


"Ramai yang tidak menyedari mereka mempunyai pasangan yang baik.

ini kerana mereka hanya memikirkan yang buruk"

(al-Faqir Ila Rabbihi Muhamad Abdullah)